.

.

.

.
HOT ITEM - Pewangi Kereta / RM1.20 @ RM2 @ RM2.90 / 5ml / whatsapp 0176760983 utk info lanjut

.

.
Bau Pewangi Kereta paling laris!

.

.
Isian semula/Refill Pewangi Kereta/Rumah / 250ml / 40 Jenis bau / Whatsapp utk harga murah

.

.

.

.
Instagram: pewangi7

.

.

.

.
Pewangi Kereta/Rumah - Pandan

.

.
RM1.70

.

.
Pewangi Badan / 2ml / RM1 / Pelbagai jenis wangian & Kasturi Kijang

.

.
Minyak Wangi 100ml

.

.

.

.
RM2

.

.

.

.
Spray 30ml

Tazkirah: Siapakah Yang Paling Bijak Di Kalangan Kita?

Dr. Zakuan Zainy Deris

Tulisan ini didedikasikan buat murabbi tercinta Almarhum Ustaz Yahya Uthman Rahimahullah yang meninggalkan kami banyak hikmah yang sangat bernilai.

Pendahuluan

Persoalan siapakan yang paling bijak sering menjadi topik perbincangan. Semua orang mahu menjadi bijak dan tiada yang memilih untuk menjadi dungu dan bodoh. Kita sering membuat penilaian siapakah yang paling bijak. Banyak standard dan neraca yang digunakan untuk menilai siapakah yang paling bijak. Tetapi sebenarnya siapakah yang paling bijak?

 Disebut dalam satu hadis, Rasulullah SAW berkata

“Al kayyisu (orang yang bijak/cerdik) ialah siapa yang menghisab dirinya dan beramal dengan untuk bekalan selepas mati Sedangkan al ‘aajizu (orang yang gagal) adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada (pemberian) Allah.” (Sunan Ibn Majah: 4260; Musnan Imam Ahmad: 124).

Dalam satu hadis yang lain disebutkan:

“Aku bersama Rasulullah, kemudian datang seorang lelaki dari Ansar, memberi salam ke atas nabi SAW kemudian berkata: siapakah mukmin yang paling baik. Jawab nabi: yang paling bagus akhlaknya. Dia bertanya lagi: siapa pula yang paling cerdik? Nabi jawab: Mereka paling banyak mengingati mati dan melakukan persediaan selepas itu, itulah orang yang paling bijak” (Sunan Ibn Majah:4259)

Ohh rupa-rupanya orang yang bijak itu adalah yang bersedia untuk mati. Marilah kita mengkaji kenapa Rasulullah menyatakan itulah orang yang bijak.

Orang yang bijak melabur untuk keni’matan yang kekal

Bersedia untuk mati dan membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati adalah satu pelaburan jangka panjang yang sangat meguntungkan. Ia lebih menguntungkan dari simpanan tetap di bank. Matawang di sana nanti berupa pahala dan liabilitinya adalah dosa.

Benarlah orang yang mengikut hawa nafsu itu orang yang ‘aajiz. Orang-orang ‘aajiz tidak bersedia untuk kehidupan hari esok. Dia cuma seumpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tiada simpanan dan tiada pelaburan untuk hari esok. Benarlah dia seorang yang  dungu.

Orang yang ‘aajiz akan memperbanyakkan kelazatan sementara dan tertipu dengan kelazatan tersebut. Mereka seronok mengumpul kelazatan tersebut kerana sangkakan boleh dibawa ke dalam kubur. Mereka mengumpul kekayaan tanpa mengira bagaimana dan dari mana sumbernya. Mereka menipu, korup, menyeleweng, mencuri atau merompak hanya untuk mendapatkan kekayaan tersebut.

Benarlah apa yang disebut oleh Allah:

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (Al Takatsur: 1-5)

Dengan mengingati mati, akan mengelakkan kita terpedaya dengan kelazatan sementara ini. Dalam satu hadis lain Rasulullah menyatakan:

“Perbanyakkanlah mengingati penghapus kelazatan iaitu mati” (Sunan al Tirmizi: 2307; Sunan Ibn Majah: 4258). Jadi berbicara pasal mati memang tidak digemari oleh nafsu dan penggemar ni’mat sementara. Sesetengahnya menganggap sebagai antiklimaks, antiestablishment, mundur, kuno, tidak maju dan sebagainya. Padahal, mereka tertipu dengan nafsu shahwat dan kelazatan sementara.

Detik saqratul maut

Firman Allah:

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” (Al Anbiyaa’: 35).

Dalam ayat lain disebutkan:

“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.” (Surah Ali Imran 3:185).

Ada juga Allah memberi peringatan dalam bentuk lain seperti:

“Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan yang kekal hanyalah tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. Maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan? ” (Al Rahman 26-28);

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kota yang tinggi lagi kukuh” (al Nisa 78) ataupun

“Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada Allah kita akan kembali” (Al Baqarah 156)

Semuanya menggambarkan manusia tidak dapat lari daripada detik kematian. Mereka sudah melihat detik saqratul maut orang di sekeliling mereka. Tetapi mereka masih lagi leka dan tidak mengambil pengajaran daripada kematian tersebut.

Detik saqratul maut berbeza dari seorang dengan orang yang lain mengikut amalan semasa hidupnya mereka. Secara umumnya kedatangan maut ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau didahului dengan amaran. Tanda-tanda kematian ini boleh jadi berupa penyakit dan penderitaan yang memerlukan kesabaran. Kematian boleh berlaku tanpa sebarang tanda. Berapa banyak kemalangan atau bencana alam berlaku ketika manusia sedang berfoya-foya. Semuanya akan menghadapi kematian samada bersedia ataupun tidak.

Detik saqratul maut adalah menyakitkan. Kita boleh melihat bagaimana saudara kita menghadapi kematian. Bagi mereka yang engkar dan kufur, kematian itu lebih menyakitkan lagi. Firman Allah:

Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: “Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?” Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan; Serta kedahsyatan bertindih-tindih; (Maka) kepada Tuhanmu lah – pada waktu itu – engkau dibawa (untuk menerima balasan). (Al Qiyamah 26-30)

Kematian bukan kesudahan satu drama

Orang-orang kafir sangkakan kehiduapan ini cuma pementasan drama. Apabila berakhir drama, tirai ditutup dan berakhirkan kisah tersebut. Firman Allah:

“Adakah (kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui lagi)”. (Qaf 3)

Kematian bukanlah kesudahan satu drama. Ataupun pengakhiran satu kehidupan. Tetapi kematian adalah untuk memenuhi agenda kehidupan manusia. Firman Allah

“Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada Allah kita akan kembali” (Al Baqarah 156). Mereka akan dibalas oleh tuhan hasil penuaian aktiviti mereka di atas muka bumi. Firman Allah:

“Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” (al Qiyamah 36)

Kesudahan akhirnya akan kepada dua iaitu samaada syurga atau neraka. Bagi ahli neraka Allah sebutkan

“Ingatlah, sesungguhnya pokok Zaqqum, -(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): ‘Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. ‘Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak’.(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): ‘Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)’(Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): ‘Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!”(Al Dukhan 43-50).

Bagi ahli syurga pula disebut:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya, Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa. Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka; (Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.(Al Dukhan 51-57)

Mengingati mati sebagai motivasi diri

Kita sudah sebutkan sebelum ini bahawa ulang mengulang mengenai kematian ini bukanlah untuk menakut-nakutkan, atau melemah-lemahkan atau membuatkan ummah tidak produktif dan menunggu saat kematian. Tetapi inilah agenda kehidupan yang mesti ditempuhi dan inilah sumber motivasi begi setiap muslim. Mengingati mati adalah tanda orang yang bijak dan berakal.

1.       Ingat mati semasa letih berusaha
Dikala letih berusaha, ingatlah saat kematian. Kehidupan dunia adalah untuk menyemai benih yang bakal dituai diakhirat nanti. Dunia adalah tempat berusaha, bekerja, bercucuk tanam ataupun melombong. Dunia adalah tempat untuk mencari bekalan untuk perjalanan yang sangat jauh. Firmah Allah:

“Dan hendaklah kamu berbekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa; dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal” (al Baqarah 197). Sepatutnya tiada masa rehat didunia melainkan dipenuhi dengan kewajiban yang tidak kunjung tamat. Kewajiban ini boleh jadi tugasan umum atau ibadah khusus. Semuanya sepatutnya menjadi asek taqwa dan akan dijadikan bekalan selepas kematian nanti. Kerana sifat ibadah kita kepada Allah bukan terhad kepada ibadah khusus semata-mata. Apabila letih berusaha, ketahuilah bahawa inilah masa yang sesuai untuk menimba bekalan kerana kemungkinan esok, sudah tiba saat kematian yang kita tidak boleh berusaha lagi. Dunia adalah tempat berusaha dan kematian adalah tempat istirehat bagi orang mu’min.

2.       Ingat mati semasa mengalami masalah dan kedukaan
Dunia dipenuhi dengan masalah, kedukaan dan kegagalan. Ingatkan mati adalah kerinduan kita untuk mendapat keni’matan yang sebenarnya. Kita mengingati mati untuk bertemu kekasih yang sedang menunggu. Penderitaan yang kita alami dan mehnah yang dihadapi dalam rangka kerja untuk taqwa kepada Allah adalah sangat ringan berbanding dengan kerinduan kita untuk bertemu dengan pencipta kita. Apalah nilaian penderitaan kita berbanding dengan penderitaan orang yang berjaya didunia tetapi gagal di akhirat.

Apalah nilaian makhluk yang membebankan kita atau yang mendukakan kita berbanding dengan keasyikkan untuk bertemu tuhan. Makhluk tersebut terlalu kerdil berbanding dengan kekasih kita yang sedang menunggu. Makhluk tersebut terlalu rendah nilainya berbanding dengan kekasih kita yang menjadi pencipta kita dan maakhluk tersebut.

Kita juga mengerti bahawa setiap kesabaran kita dalam menghadapi masalah akan diberikan ganjaran oleh Allah apabila kita bertemu dengannya selepas kematian nanti. Kematian kita kelak akan menamatkan penderitaan, kegagalan dan kedukaan yang sementara itu. Kematian itu akan menghadiahkan kita pahala atas segala kesabaran.

3.       Ingat mati semasa leka dengan kehidupan dunia
Semasa melakukan tugasan kita untuk mencari bekalan kepada perjalan yang panjang, kerap kali kita terleka dengan kehidupan dunia yang fana ini. Ingatlah mati, kita akan kembali semula ke landasan yang sewajarnya. Di kala melakukan maksiat, ingatlah mati, apa jawaban kita kepada Allah.  Di kala berbangga dengan kejayaan sementara, ingatlah mati, adakah kejayaan itu akan berterusan. Di kala kagum dengan diri sendiri, ingatlah mati, ingatlah kelemahan diri bila bertemu dan mengadap Allah. Dengan kita tidak terleka dan mempunyai jati diri dalam menghadapi suasana kehidupan.

Wasiat bagi orang yang bakal mati

Akhirnya, selaku orang yang telah bertunang dengan kematian, bersedialah untuk berkahwin dengannya. Berwasiatlah bagaimana kita mahu orang di sekililing kita buat apabila kita menghadapi saqratul maut. Kita sudah tidak mampu berkata-kata apabila berada dalam keadaan sedemikian. Bagaimana kita mahu anak isteri, kaum kerabat atau masyarakat membantu kita apabila berhadapan dengan kematian. Adakah kita mahu mereka mengadakan pesta di saat kematian kita? Adakah kita mahu mereka menunjukkan kemewahan yang kita berikan kepada mereka di saat tersebut? Atau bagaimana? Ketahuilah bahawa saat kematian itu adalah bila-bila masa. Berwasiatlah bagaimana kita mahu menghadapi saqratul maut.

Penutup

Tulisan ringkas ini adalah tazkirah buat diri ini yang sering lupa tujuan kehidupan. Kita hidup bukanlah kerana kita yang minta untuk lahir ke dunia. Tetapi kita diarahkan lahir dan kita juga diarahkan menerus agenda kehidupan nanti. Firman Allah:

“Bagaimana kamu tergamak engkar kepada Allah padahal kamu dahulunya tiada, kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).” (Al Baqarah 28).

Rujukan/Bacaan lanjut

Bey Ariffin, Kehidupan Sesudah Mati.
Aid Al Qarni, Jangan Bersedih
Pahrol Mohamad Juoi, Celik Mata Hati
Be Sociable, Share!

.

.